
Asal Usul Kangar
Kangar merupakan pusat pentadbiran Negeri Perlis dan berperanan sebagai pusat perdagangan utama. Kangar terletak di dalam 5 mukim iaitu Sena, Kechor, Wang Bintong, Seriab dan Utan Aji. Kangar merupakan kawasan yang paling padat dengan pembangunan.
Kewujudan Bandar Kangar semenjak 350 tahun dahulu iaitu dalam tahun 1653 adalah apabila Kota Sena yang dibina sebagai pusat pemerintahan pada awalnya diduduki oleh Sultan Kedah ke 14 iaitu Sultan Muhyiddin Mansor Shah. Kangar suatu ketika dahulu merupakan sebuah perlabuhan darat (Pengkalan) di mana perahu dan tongkang berlabuh. Ini adalah kerana terdapat sebatang sungai yang mengalir melalui Bandar Kangar terus ke Kuala Perlis iaitu Sungai Perlis.
Bertempat di pengkalan inilah para pedagang berjual beli di bawah sebatang pohon tinggi dan merendang di kawasan itu. Pohon yang menjadi teduhan dan saksi kepada urusniagainilah yang bernama “Pohon Kangar”. Setiap pedagang atau saudagar yang berulang alik ke tempat tersebut menggelarkan kawasan tersebut sebagai “Pelabuhan Pohon Kangar” bersempena nama pokok tersebut.
Selain daripada itu, terdapat juga beberapa andaian lain yang mengatakan bahawa asal-usul nama Bandar Kangar ini diambil dari bunyi sejenis burung iaitu burung helang “kangor”. Pada masa awal kewujudan Bandar Kangar, terdapat banyak burung helang kangor berterbangan dikawasan ini.
Namum begitu, menjelang abad ke-20 fungsi “Perlabuhan Pohon Kangar” ini kian berkurangan dimana corak pengangkutan dan lalu lintas kian berubah. Pengangkutan air telah berubah kepada pengangkutan darat dimana banyak jalan-jalan raya mula dibina. Kenderaan yang dahulunya merupakan perahu dan tongkang telah bertukar kepada kereta dan lori.
Seterusnya pula, “Pelabuhan Pohon Kangar” ini berubah kepada pusat perniagaan dan pentadbiran di Negeri Perlis. Kini nama pengkalan telah luput dari sebutan penduduk dan yang tinggal hanyalah nama Kangar atau Pekan Kangar sahaja.