Langkau ke kandungan utama

F.A.Q PERKHIDMATAN CUKAI TAKSIRAN (JABATAN PENILAIAN DAN PENGURUSAN HARTA)

Anda di sini

SUMBER : JABATAN PENILAIAN DAN PENGURUSAN HARTA

 

1. Apakah itu Cukai Taksiran?

Cukai Taksiran atau Cukai Pintu adalah bayaran yang dikenakan ke atas pegangan berkadar yang terletak di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) meliputi pegangan-pegangan berikut:-

i) Kediaman

Rumah teres, rumah berkembar, rumah sesebuah, rumah bandar, pangsapuri, apartment, kondominium, rumah kampung dan sebagainya.

ii) Perniagaan

Kedai/pejabat, rumah kedai, hotel, bengkel, kompleks membeli belah, stesyen minyak, pawagam dan sebagainya.

iii) Perindustrian

Kilang, gudang, loji dan sebagainya.

iv) Tanah Kosong

Tanah kosong yang mempunyai geran hakmilik boleh dikenakan Cukai Taksiran/Cukai Pintu selaras dengan peruntukan Seksyen 2, Akta 171.

 

2. Apakah kuasa yang membenarkan kutipan Cukai Taksiran?

Kuasa untuk mengenakan Cukai Taksiran termaktub di bawah Seksyen 127 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)  yang membolehkan Majlis Perbandaran Kangar mengenakan kadar atas pegangan yang terdapat di dalam kawasan pentadbiran MPKPs.

 

3. Bagaimanakah Cukai Taksiran di tentukan?

Cukai Taksiran bagi harta-harta berkadar ditentukan berdasarkan formula seperti berikut:-

Cukai Taksiran = Nilai Tahunan x Kadar %

  • Penentuan “Kadar %"

Secara umumnya kadar % ditentukan berdasarkan keperluan Anggaran Belanjawan Majlis, atau kos-kos yang ditanggung Majlis. Kadar % yang dikenakan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

  • Penentuan “Nilai Tahunan”

Nilai Tahunan = Anggaran Sewa Kasar Sebulan x 12 bulan. Anggaran sewa kasar bagi rumah ditentukan berasaskan rumah-rumah sejenis yang berdekatan. Setiap rumah mempunyai “nilai sewa” tanpa mengira samada rumah tersebut diduduki sendiri, disewakan ataupun rumah ditinggalkan kosong kerana gagal disewakan.

 

4. Mengapa Cukai Taksiran saya berbeza dengan jiran saya?

Perbezaan Cukai Taksiran boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah:-

  • Keluasan lantai bangunan (disebabkan ubah suai atau tambahan).
  • Jenis bangunan.
  • Kedudukan bangunan (hujung/tengah/tepi).
  • Jenis bahan binaan/kemasan.

 

5. Adakah Cukai Taksiran saya akan berubah-ubah dari semasa ke semasa?

Nilai Tahunan akan kekal sehingga Penilaian Semula yang dikuatkuasakan kecuali pindaan kepada Senarai Nilaian akan dibuat sebagaimana Seksyen 144, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Pindaan Senarai Nilaian akan dibuat berdasarkan sebab-sebab berikut:-

  • Bangunan baru.
  • Ubahsai bangunan / tambahan binaan.
  • Bangunan runtuh / dirobohkan.
  • Pembetulan penilaian sediada.
  • Keluaran Hakmilik baharu.
  • Perubahan kegunaan bangunan.

6. Apakah yang harus dilakukan apabila ingin membeli sebuah rumah / tanah kosong?

Semakan perlu dibuat terlebih dahulu di pejabat MPKPs berkenaan nama yang didaftar dan tunggakan yang ada bagi rumah / tanah tersebut. Seksyen 146, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menyatakan bahawa semua kadar (tunggakan) adalah menjadi tanggungjawab pemilik pada masa itu untuk menjelaskannya. Dinasihatkan untuk menyemak dahulu perkara ini dengan peguam atau agen pengurusan yang menguruskan urusniaga harta tersebut untuk memastikan tunggakan telah dijelaskan oleh pemilik sebelumnya atau sebaliknya.

7. Apakah yang perlu dilakukan jika berlakunya pertukaran hakmilik seperti menjual / membeli / mewarisi rumah, harta atau lot kosong?

Jika berlakunya pertukaran hakmilik, diminta untuk memaklumkan kepada MPKPs (Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta) dalam tempoh 3 bulan selepas proses pindahmilik sempurna dilaksanakan di Pejabat Tanah. Jika gagal, pihak MPKPs boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 160 (6) Akta Kerajaan Tempatan, iaitu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 2,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-dua sekali.

Dokumen yang perlu disertakan semasa pemakluman pertukaran hakmilik adalah seperti berikut:-

  • Mengisi borang notis pindahmilik harta (Borang I) – boleh didapati di laman sesawang MPKPs dan Kaunter Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta (Tingkat 2, Kompleks Bazar MPK Jejawi).
  • Salinan geran (tertera nama pemilik terkini).
  • Salinan Kad Pengenalan pemilik terkini.
  • Bil cukai taksiran terbaru yang telah dibayar.
  • Bayaran proses RM 30.00.
  • Bayaran denda RM 50.00 (jika pertukaran hakmilik dibuat selepas tempoh 3 bulan pindah milik dilaksanakan di Pejabat Tanah).

 

8. Adakah pengurangan cukai taksiran boleh diberikan kepada bangunan kosong yang tidak didiami?

Cukai Taksiran ke atas pegangan yang kosong boleh dikurangkan dengan memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di bawah Seksyen 162, Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu:-

  • Memberi notis bertulis dalam tempoh 7 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku.
  • Bahawa bangunan itu berada dalam keadan baik dan layak untuk diduduki.
  • Bahawa segala usaha yang munasabah telah dibuat untuk mendapatkan seorang penyewa.
  • Bahawa sewa yang diminta adalah sewa yang munasabah.

 

Walaubagaimanapun, Cukai Taksiran bagi pegangan tersebut hendaklah dijelaskan terlebih dahulu sebelum pengurangan diberikan. Selain itu, pemilik hendaklah memberitahu kepada pihak MPKPs jika bangunan tersebut telah:-

  • Roboh atau hendak dirobohkan.
  • Diubah atau hendak diubah ke tempat lain.
  • Musnah akibat kebakaran, angin ribut atau sebab-sebab lain.

 

9. Apakah pegangan / harta yang boleh diberikan pengecualian / pengurangan Cukai Taksiran?

Mengikut Seksyen 134 & Seksyen 135, pengecualian / pengurangan Cukai Taksiran boleh diberikan apabila sesuatu pegangan atau mana-mana bahagiannya digunakan semata-mata:-

  • Sebagai tempat awam untuk sembahyang;
  • Sebagai tanah perkuburan krematorium awam yang berlesen;
  • Sebagai sekolah awam;
  • Sebagai tempat awam bagi maksud khairat atau bagi maksud sains, sastera atau seni halus;
  • Bagi maksud rekreasi, sosial atau kebajikan dan bukan untuk mendapatkan keuntungan wang.

Pegangan boleh dikecualikan dari membayar Cukai Taksiran  atau diberi pengurangan Cukai Taksiran oleh Pihak Berkuasa Negeri.

 

10. Adakah bil Cukai Taksiran dipos kepada pemilik harta?

Majlis Perbandaran Kangar tidak lagi mengepos bil Cukai Taksiran ke rumah / premis bermula tahun 2021 dan semua semakan bil Cukai Taksiran perlu dibuat secara atas talian dengan melayari laman sesawang MPKPs  www.mpkangar.gov.my .

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-

Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta,
Majlis Perbandaran Kangar,
Tingkat 2,
Kompleks Bazar MPK Jejawi,
02600 Arau, Perlis.
No. Telefon : 04-9767126
No. Fax : 04-9767125