Photo
Kandungan
Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) telah mengadakan Bengkel Pemantapan Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai MPPs selama tiga (3) hari bermula 22 hingga 24 Ogos 2026 bertempat di Hotel Flamingo, Pulau Pinang.
Bengkel ini merupakan satu inisiatif ke arah memperkukuh barisan kepimpinan jabatan/unit di MPPs serta menyatukan pemikiran, komitmen dan gerak kerja dalam mendukung aspirasi serta hala tuju MPPs.
Tuan Haji Affendi Rajini Kanth, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Perlis, telah menyampaikan serta berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan beliau dalam usaha memperkasakan MPPs.
Pengisian yang disampaikan memberi penekanan terhadap aspek kepimpinan, kerja berpasukan dan hala tuju MPPs agar setiap Ketua Jabatan dan pegawai dapat memainkan peranan secara lebih berkesan, tersusun dan bersepadu.
Pendekatan kepimpinan melalui elemen Directive, Coaching, Supporting dan Delegating turut dibincangkan bagi membantu Ketua-Ketua Jabatan dan pegawai menyesuaikan pendekatan kepimpinan mengikut situasi serta keperluan pasukan.
Melalui pendekatan ini, ketua jabatan bukan sahaja berperanan dalam memberikan arahan, malah perlu menjadi pembimbing, pendengar, penyokong dan seterusnya memberi kepercayaan serta memperkasakan pasukan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih yakin dan berkesan.
Selain itu, peserta turut diberi penekanan mengenai ciri-ciri seorang pemimpin yang hebat dan berkesan. Seorang pemimpin perlu berupaya mengeluarkan potensi terbaik dalam diri setiap warga kerja, menjadi sumber pembelajaran dan inspirasi, dihormati kerana keperibadian dan kepimpinannya serta sentiasa mengambil berat terhadap kejayaan, perkembangan dan pertumbuhan organisasi.
Bengkel ini juga memperkukuh penghayatan terhadap lima (5) elemen iaitu TRUST sebagai asas dalam membentuk budaya kerja dan organisasi yang kukuh:
T – Togetherness
Memupuk semangat kebersamaan dan kesepaduan sebagai satu pasukan.
R – Responsible / Respectful
Membudayakan sikap bertanggungjawab serta saling menghormati dalam melaksanakan amanah dan tugas.
U – Unwavering
Mengekalkan keteguhan, iltizam dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam mencapai matlamat organisasi.
S – Staunch
Membentuk warga kerja yang teguh, setia dan berpegang kepada prinsip serta aspirasi organisasi.
T – Talent
Mengenal pasti, membangunkan dan memperkasakan bakat serta potensi warga kerja demi kecemerlangan MPPs.
Turut hadir ialah Tuan Redzuan Bin Jaris, Setiausaha Majlis Perbandaran Perlis.
Pelaksanaan bengkel ini diharap dapat menjadi wadah untuk menyatukan aspirasi, memperkukuh hubungan kerja dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan Ketua Jabatan serta pegawai MPPs. Semangat dan pengisian yang diperoleh diharap dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas seharian, seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan organisasi yang lebih mantap, dinamik, berintegriti dan berprestasi tinggi.
Photo

