Photo
Kandungan
Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) terus mengorak langkah proaktif dalam memantapkan tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan melalui penganjuran Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan/Unit Bersama Tuan Yang Dipertua Bil. 03 Tahun 2026 serta Bengkel Pemantapan Bajet MPPs Tahun 2027. Program ini telah berlangsung selama empat hari, bermula 19 September hingga 22 September 2026, dengan penyertaan seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi ketua-ketua jabatan/unit dan kakitangan MPPs yang terlibat.
Tuan Yang Dipertua MPPs, Tuan Haji Affendi Rajini Kanth dan Tuan Setiausaha MPPs, Tuan Redzuan Bin Jaris turut hadir selaku fasilitator di sepanjang bengkel ini berlangsung. Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk meneliti, menyemak, dan memantapkan Anggaran Belanjawan MPPs bagi Tahun 2027 agar pengagihan kewangan dilakukan secara berhemah, efektif, dan berorientasikan hasil (outcome-based). Melalui fokus bajet berorientasikan hasil (outcome-based), delegasi MPPs komited memastikan setiap perancangan pembangunan fizikal dan sosial pada tahun hadapan memenuhi keperluan komuniti Perlis secara bersasar, berintegriti dan berhemah berpandukan sumber kewangan sedia ada.
Selain itu, mesyuarat bersama Tuan Yang Dipertua ini menjadi platform penting bagi mewujudkan interaksi terus bersama ketua-ketua jabatan dan unit. Melalui pendekatan ini, penjajaran semula hala tuju MPPs telah berjaya dilaksanakan menerusi penyelarasan Sasaran Kerja Utama (SKU) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), sekali gus strategi penyampaian perkhidmatan perbandaran bagi tahun hadapan dapat direncanakan.
Bagi mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan, aspek insani turut diberi penekanan utama di mana aktiviti telematch dan teambuilding turut diintegrasikan semasa bengkel ini dilaksanakan. Aktiviti yang dijalankan ini dapat memupuk semangat kerja berpasukan serta dapat menyuntik motivasi serta kesejahteraan minda para pegawai demi membentuk budaya kerja yang lebih positif dan produktif.
Photo

